Asma di kalangan kanak-kanak: 6 mitos yang anda perlu tahu.
Sesekali tengok anak kena ‘sedut gas’ di hospital, memang sedih. Anak meraung satu hal, nak mengepong si kecik pun satu hal juga. Pendek kata, yang menyedut gas tu penat, yang memegang si kecik yang ‘sedut gas’ pun penat.. Kali ni saya tergerak hati nak ulas berkenaan mitos-mitos yang selalu saya dengar apabila perkataan asma kanak-kanak (childhood asthma) disebut. Tambah pula, musim jerubu beransur tiba (selalunya ke penghujung tahun). Jom kita sama-sama update tentang mitos-mitos berkenaan asma di kalangan kanak-kanak:
MITOS 1: Kanak-kanak yang menghidap asma ni mesti disebabkan penyakit keturunan.
Jawapannya: TIDAK.
Seseorang kanak-kanak boleh menghidap asma tidak kira sama ada dia mempunyai sejarah asma di kalangan keluarga atau tidak.
MITOS 2: Kanak-kanak yang terdedah kepada asap rokok mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap asma.
Jawapannya: YA.
Asma ini adalah sejenis penyakit radang salur pernafasan yang kronik, di mana ia menyebabkan salur pernafasan menjadi merah, bengkak, mengeluarkan lendir berlebihan dan mudah teransang (hypersensitive).
Analogi mudah:
Terowong jalan yang kita lalu hari-hari. Jika tiada apa yang menghalang laluan, mudah je kita lalu. Tapi bila ada pasir, batu-batu selongok kiri kanan, air banjir melimpah masuk terowong ke.. tentulah laluan kita jadi terhalang. Nak masuk tak boleh. Nak keluar pun tersangkut. Macam tu la dengan saluran pernafasan. Cumanya saluran pernafasan ni fungsinya lebih kritikal. Jika laluan jalan terhalang, kita boleh guna laluan alternatif. Tapi jika laluan udara (a.k.a saluran pernafasan) terhalang, apa lah daya kita kan?
Sebab itu, sebarang elemen yang telah TERBUKTI menyebabkan kerengsaan pada saluran pernafasan khasnya bagi yang menghidap asma, cubalah elakkan. Dalam erti kata lain, dia adalah faktor risiko/ trigger kepada serangan asma.
Contohnya: asap rokok, debu-debu kotoran, bau cat, alahan kepada bulu binatang peliharaan, dan lain-lain.
MITOS 3. Anak yang selalu batuk-batuk adalah besar kemungkinan menghidap asma.
Jawapannya: YA.
Tapi! Dapatkan pengesahan doktor terlebih dahulu ya. Gejala batuk juga boleh disebabkan oleh penyakit seperti influenza, radang paru-paru, batuk kokol, dan penyakit tibi. Pastikan anak anda bebas dari penyakit berjangkit sebelum si manja dicop ada asma.
Antara gejala lain asma kanak-kanak adalah: batuk pada waktu malam (waktu tidur), susah bernafas, rasa ketat di dada dan adakalanya sehingga nafas jadi berbunyi seperti wisel.
MITOS 4: Anak-anak yang menghidap asma ni tak boleh dibiarkan bermain lasak/bersukan.
Jawapannya: TIDAK.
Anak-anak yang menghidap asma boleh saja dibiarkan bermain seperti biasa, malah bersukan pun boleh.. asal saja pastikan rawatan asma diambil dengan betul dan mengikut dos yang dipreskrib doktor & pastikan pam pelega (kebiasaannya berwarna biru) sentiasa ada dengan anak-anak hatta di tadika/sekolah sekalipun.. dan anak2/cikgu tahu cara menggunakannya. Dengan rawatan yang betul, anak-anak yang menghidap asma boleh menjalani kehidupan yang aktif seperti kanak-kanak biasa.
MITOS 5: Dah dapat pam + aerochamber & bagi anak sedut dah mencukupi.
Jawapannya: TIDAK.
Apa yang saya maksudkan di sini.. tak cukup untuk ibu bapa bagi sahaja anak sedut pam tanpa memahami cara penggunaan yang betul terutamanya cara penjagaan aerochamber. Pengalaman saya di klinik asma dulu, ada banyak kanak-kanak yang berulang kali masuk ke wad biarpun dah menggunakan pam pencegah (warna coklat/ungu bergantung kepada jenis ubat).. bila disiasat (untuk cari punca serangan asma berlaku).. sebilangan besar rupanya disebabkan penjagaan aerochamber yang tidak betul..
MITOS 6: Asma kanak-kanak ni adalah untuk seumur hidup.
Jawapannya: TIDAK
Asma di kalangan kanak-kanak ni unik. Sebab tu ia dinamakan childhood asthma. Bermaksud, akan sampai satu tahap (meningkat usia remaja), sebahagian kanak-kanak ini akan pulih dan tidak lagi memerlukan rawatan asma. Walau bagaimana pun, ada juga yang serangan asma mereka akan berterusan sehingga umur dewasa.
Ingat ya! Asma kanak-kanak bukanlah bermakna anak perlu digari duduk sahaja di tepi melihat yang lain bermain. Dengan kefahaman yang betul, anak-anak yang menghidap asma boleh saja menikmati dunia kanak-kanak dengan riang dan aktif.
Mendidik dengan ilmu, menjaga dengan penuh kasih-sayang!
Semoga perkongsian kali ini membawa manfaat.