Mendapatkan taska terbaik untuk si manja anda.

Entry kali ini sesuai untuk mereka yang selalu berpindah-randah @ bertukar tempat kerja macam saya. Dah nama pun kerja kerajaan, orang kesihatan pula tu. Makanya, ke mana kita diarahkan berkhidmat, ke situ la kita berada. Sekarang, saya balik semula ke universiti, memacu keras tenaga bagi memastikan semester terakhir saya (semester keenam PhD) kekal sebagai semester terakhir (mohon doa semua). Saya selalu bergurau dengan staf unit saya, surat rasmi yang saya sign patutnya tukar ayat “Saya yang menurut perintah” kepada “Saya yang sedang berusaha”. Huhu.

Ok, kembali kepada topik. Bagaimana nak mendapatkan taska terbaik untuk anak kita? Boleh rujuk tips basic di sini. Anak saya Adam baru berumur 20 bulan, tapi setakat ini dah merasa tinggal dengan 3 pengasuh dan dua taska. Biarpun susah, jangan takut untuk cepat-cepat tukarkan anak ke tempat lain sekiranya anda rasa tak sedap hati/ tengok anak tak seronok/ jumpa apa-apa tanda yang memberi klu anak anda tidak dijaga dengan baik. Untuk Adam, alhamdulillah, setakat ini tak pernah lagi berjumpa mana-mana guru taska / pengasuh yang tak elok, cuma tak serasi saja ataupun terpaksa tukar sebab kami berpindah rumah. Untuk kali ini, ada beberapa tips tambahan yang nak saya kongsikan:

1.Cari taska yang ada aktiviti/ sesi pembelajaran tambahan untuk anak. 

Sesi pembelajaran yang saya maksudkan di sini bukannya macam di sekolah tu, tapi sebaliknya aktiviti yang fokus kepada daya perkembangan mental, fizikal dan spiritual (bonus) anak-anak. Contohnya: taska PERMATA, Montessori, PASTI, Naluri Bestari, dan lain-lain. Kenapa? Sebab mereka bukan sekadar jaga, malah bantu latih perkembangan anak-anak melalui cara yang seronok dan selamat. Taska sebegini selalunya ada buku rekod untuk setiap anak-anak dan mereka akan berikan laporan kepada ibu bapa (laporan bergambar bila beraktiviti, laporan bertulis 6 bulan sekali ataupun laporan verbal bila berjumpa ibu bapa).

543c66fb-1bb0-40f0-969c-cf82c3616f6f

2. Pihak taska ada minta rekod surat beranak anak dan rekod imunisasi anak. 

Bagi saya, ini penting sebab sekurang-kurangnya bila mereka minta rekod ini dengan anda, itu menunjukkan yang mereka prihatin dengan kesihatan dan keselamatan anak anda dan mereka ada sistem pengurusan yang teratur. Jangan lupa tanyakan juga sama ada anak lain yang turut dijaga dah ambil imunisasi ikut waktu atau tidak. Ini hak kita sebagai warga bermasyarakat. (Saya ada pengalaman dengan taska yang tak ambil pusing perkara ini.. kalau tak jadi apa-apa tak apa, tapi bila ada wabak penyakit berjangkit? Masa tu memang masaklah.. nak kena cuti lama jaga anak sakit, tak kena gaya anak-anak lain di rumah ataupun kita pun kena sekali..)

3. Taska ada tawarkan servis ambil/hantar anak ke rumah (bonus). 

Tak semua taska sediakan perkhidmatan ni, tapi jika ada, alhamdulillah! Mudah urusan kita. Bayar lebih sikit tak apa.. asalkan anak terjaga dan kerja kita pun dimudahkan. Tapi.. pastikan bila mereka ambil anak kita, kenderaan mereka tu lengkap dengan car seat ataupun ada orang lain untuk pegangkan anak jika anak masih kecil.

4. Perhatikan tingkah laku dan tutur kata anak selepas tinggal di taska selepas seminggu/ dua minggu. 

Anak-anak khasnya yang dah belajar/ mula bercakap, mereka ni macam sponge. Cepat sangat meniru semua perkara. Yang mana mereka dapat dari kita, kita sendiri kena take note – ubah mana-mana yang perlu. Disebabkan anak kita ni berada di taska lebih 9-10 jam atau lebih sehari, adakalanya mereka pick up kelakuan dari kawan-kawan setaska. Selalunya cikgu taska memang ok, kadang-kadang kelakuan anak-anak lain yang tak berapa nak ok. Jika anak anda dah mula bertindak kasar, cakap kasar ataupun buat perkara lain yang tak elok yang dia tak pernah buat sebelum itu, bincang dan highlightkan perkara itu dengan cikgu. Mungkin perlu dilakukan sesuatu yang lebih drastik untuk ketenangan bersama. (Jangan terkejut kalau rupa-rupanya anak anda yang jadi pengacau di taska!) Itu maksudnya, anak masih kurang perhatian BERKUALITI bersama kita si ibu bapa ataupun ada cara didikan yang perlu kita muhasabahkan dan tukar. Sebab itulah, ilmu mendidik ini penting!

Akhir kata, ilmu harus disertai dengan amal. Dan bila sudah beramal, jangan lupa untuk bertawakal dengan doa dan berserah kepada-Nya.

Semoga anak-anak kita bakal jadi pewaris bangsa dan negara yang berkualiti, hebat dan menghebatkan!

Nak pergi bercuti ke idok?

Soalan yang mudah tapi jawapannya mungkin tidak. Tambah pula kalau anak isteri tanya tengah-tengah bulan. Sebelum nak menjawab ya tu, banyak benda kena fikir dulu.

  1. Duit belanja (pergi balik)
  2. Cuti (kerja melambak-lambak!)
  3. Destinasi percutian (percutian keluarga maksudnya tempat yang boleh buat anak-anak gembira; ada kolam renang, taman permainan, bla bla bla)
  4. Baju berjalan (iye la.. nak juga nampak cantik dalam gambar kan?)
  5. Barang-barang anak yang penting dibawa sekali (pampers, susu, mainan, pelampung, ubat demam, sweater, etc.)
  6. Kerja-kerja di rumah (baju perlu dibasuh dulu, nanti balik bercuti ada selonggok lagi baju nak kena basuh)
  7. Nak buat apa kat sana (takkan main kolam je kot? Tak ada jalan-jalan ke? Penat tau nak fikir itinerary ni..)

Rasa penat kan bila tengok list ni? Tapi..! Apa kelebihan kalau kita pergi bercuti sebagai satu keluarga?

Nak gembirakan hati seorang ibu bapa ni senang je. Gembirakan hati anak-anak mereka dulu. Bila si kecil riang gembira, automatik emak ayah happy.

Its that simple! 

Dan mungkin belanja dorang makan besar? Eheh.

Orang kata kalau nak kenal seseorang tu dengan lebih mendalam, pergilah mengembara dengan dia. Haa.. masa dalam perjalanan tu, banyak benda boleh belajar. Banyak memori manis boleh tercipta! Berkepuk-kepuk gambar boleh tangkap tau! Emak ayah pun akan belajar jadi lebih kreatif cari bahan nak pastikan anak tak bosan dalam perjalanan. Nak belajar bersabar ala-ala boot camp, inilah masanya!

Anak kecil ni seronok bila dapat tengok benda baru. Tambah pula kalau kita bawa dia buat aktiviti yang dia suka. Mereka mungkin tak ingat apa yang kita buat untuk mereka, tapi perasaan gembira, dihargai, disayangi, dan selamat bersama keluarga tu akan bersama mereka hingga dewasa. Itu yang buat mereka jadi lebih berani dan berkeyakinan!

Tak mampu ke luar negara, pergi dalam Malaysia pun boleh. Banyak tempat percutian yang sesuai untuk aktiviti bersama keluarga dengan harga berpatutan. Yang penting perlu survey betul-betul dan pilih mana yang berkenan! Dan pergi dengan hati yang fleksibel. Sesuaikan dengan keadaan.

family vacation

Akhir kata, nak bercuti ke idok? Tepuk dada tanya selera!

 

 

Emak ayah sebagai role model anak membaca.

Pernah dengar tak pepatah ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi? Well, kalau ada yang loklaq sket, banyak jawapan boleh bagi. ^v^. Jatuh ke lantai boleh, atas buku, masuk dalam mulut.. dan lain-lain. So, apa kaitan dengan tajuk kali ni?

Apa yang kita buat, apa yang kita cakap, itulah yang akan jadi kamus kehidupan anak-anak. Mereka belajar melalui pengamatan. Mata mereka sungguh pun kecil tapi bak helang! Malah mungkin lebih tajam lagi!

Sedari kecil, kena biasakan anak melihat emak ayahnya membaca. (bukan baca online di smartphone atau di laptop, tapi di buku yang boleh dipegang, di alih satu-satu muka suratnya, dan berbau kertas! perfume evergreen tu.. )

Atas sebab itu, bila dah gelar diri ulat buku, mestilah ada buku nak diulatkan kan? Eh? Buku pertama yang saya rasa terpanggil nak baca dan ulas adalah buku ni – PHD Mama oleh Dr Nik Salida & Bahruddin Bekri.

phd mama.jpgRingkas bukunya, insyaAllah dalam sejam boleh habis baca. Sambil-sambil anak tidur tu, boleh capai dan hadam. Seperti mana tajuknya (PHD Mama), seperti itulah dunia kehidupan saya sekarang. Kalut dengan dunia menulis thesis, kajiselidik yang tak berpenghujung.

Saya nak petik sikit ayat dalam buku ni.

.. apabila dengar orang kata, “Senangnya PHD. Cepatnya buat PHD.”,saya cuma tersenyum. Memang kita biasa untuk melihat apa yang sudah ada, tetapi sangat jarang untuk tahu bagaimana ia boleh ‘ada’. Tidak ada perkara di dunia ini yang terus ‘ada’. Setiapnya pasti ada penyebab dan proses yang tidak mudah.

SPOT ON!! T_T Hakikatnya, mendapatkan segulung ijazah PHD ni harganya amat mahal. Dibayar dengan tangisan, dan peluh keringat si pelajar dan keluarganya!

.. Oleh sebab itu, Allah janjikan syahid sekiranya mati semasa menuntut ilmu. Itu petunjuk bahawa menuntut ilmu itu memang susah, memang mencabar..

Akhir kata, selamat mendidik diri untuk jadi lebih cekal dan bersabar dengan perjuangan diri masing-masing. Hidup yang bermakna adalah hidup yang ada turun dan naiknya. Baru lah pandai menghargai dan bersyukur!