Ini perkara wajib anda ambil tahu jika anak anda menyusu botol!

Kebelakangan ini, saya jumpa banyak kes anak bawah setahun yang malang menghidap dysentery atau dalam bahasa mudahnya mengalami cirit-birit yang teruk (jangka masa pendek) yang disebabkan oleh jangkitan kuman E.Coli, Salmonella, Campylobacter ataupun jangkitan parasit amoeba E. Histolytica. Antara faktor berisiko tinggi yang kita jumpa pada kanak-kanak ini adalah mereka ni minum susu botol+ibu bapa/penjaga mereka tidak prihatin pada isu-isu penjagaan perkara berkaitan dengan susu botol. Perkara berkaitan apa pula ni? Haa.. bila sebut susu botol, mesti anda ingat botol+puting susu saja kan? Sebenarnya, ada EMPAT perkara penting yang kita sebagai ibu bapa WAJIB ambil tahu dan beri perhatian.

 

1.Penyimpanan susu tepung itu sendiri

Yang ini orang selalu lupa (saya pun terlepas pandang.T_T). Jika anda jenis yang beli tin susu dan buang setiap kali benda baru, itu tak ada masalah. Tapi, berapa ramai orang yang mampu beli kan? Selalunya orang beli yang refill dan ganti saja bila susu dah nak habis. Betul tak?

Yang ini, pastikan:

  • anda guna bekas kedap udara untuk simpan susu tepung
  • jangan lupa pastikan anda beli dan guna susu yang asli dan tidak luput tarikh penggunaan
  • sebelum refill dengan susu baru, basuh dan keringkan dulu bekas susu tadi. Ini penting supaya tidak ada pencemaran silang (cross contamination) dari kawasan sekeliling. Iyelah, kadang-kadang kita tak perasan tangan dah pegang macam-macam..
  • Simpan di kawasan yang kering dan tidak panas (kelembapan dan suhu yang tinggi boleh merosakkan kualiti susu tepung)

2. Penjagaan botol susu anak 

Yang ini, macam biasalah:

  • Basuh dengan air panas/sabun pencuci botol susu setiap kali selepas digunakan.
  • Guna berus botol untuk menghilangkan saki-baki susu yang tertinggal dalam botol. (jangan lupa ganti berus botol bila tengok dah tak berapa elok)
  • Steril kan botol anak (dan puting botol juga) setiap kali sebelum penggunaan pertama kali. Bagi yang anak mereka kurang dari umur 3 bulan/ lahir pra matang/ mengalami masalah dengan sistem imunisasi badan, anda perlu rajin sterilkan botol selalu memandangkan mereka ini lebih mudah dijangkiti penyakit berbanding anak-anak lain.
  • Berhati-hati dengan botol yang bentuk pelik-pelik, ia nya lebih susah dibersihkan berbanding botol biasa!

    Prevention is gold, people! 

 

3. Penjagaan puting susu botol:

Ini lebih kurang macam penjagaan botol susu tadi. Beberapa tambahan lain:

  • jika anda mampu, ganti sekerap mungkin (saranan sebulan sekali). Tapi rasanya ini option yang tak berapa praktikal bagi ibu bapa yang menggunakan botol susu berjenama (sebab kebiasaannya botol susu ini menggunakan puting susu khas untuk botol mereka dan harganya pun lebih mahal daripada biasa).
  • Rule of thumb: anda nampak puting susu tu dah terkoyak (duhhh..), lembik ataupun susu keluar terlalu laju.. silalah tukar. Susu sepatutnya keluar secara titisan yang sama (even drop) dan bukannya laju macam air paip (not steady stream)!

4. Tempat pengering botol susu a.k.a drying rack 

Ini pun orang selalu terlupa. Almaklum, dia tersidai je kat tepi sinki/atas meja. Jangan tunggu sampai rupanya dah geli-geleman baru nak cuci. Tempat pengering ni cepat mengumpul habuk dan jadi petry dish untuk kuman disebabkan ia selalu lembap dengan air yang menitis dari botol susu yang dikeringkan.

  • basuh sekurang-kurangnya sekali seminggu.
  • basuh tangan anda dulu sebelum mengendalikan cawan anak yang turut diletakkan di tempat pengering ini.
  • Jauhkan telefon anda daripada kawasan dapur atau tempat pengering ini (tangan dan telefon anda terdedah kepada pelbagai kuman dari tempat sekeliling).

Nampak macam banyak dan ala-ala OCD sikit, tapi apa salahnya kita ambil berat lebih sikit demi kesihatan anak-anak. Kesian si manja bila cirit-birit dan sakit perut hanya kerana kita malas/tak ambil berat hal-hal sebegini.

menyusu botol

menyusu botol_2

Akhir kata, semoga kita menjadi ibu bapa/penjaga anak-anak yang prihatin dan peka dengan kebersihan sekeliling, khasnya empat perkara berkaitan susu botol ini. Bye!

 

Peranan ibu bapa apabila anak dijangkiti penyakit berjangkit…

Baru-baru ini saya dan keluarga berpeluang makan besar di kampung. Memang meriah, kecoh dan seronok! Almaklum ramai budak kecil, lari ke sana sini. Tapi sayangnya, dalam pada duduk bersembang-sembang tu, terperasan pula si kecil berdua ni. Yang seorang senyap je, melepek dengan emaknya. Yang lagi seorang tergaru-garu. Kita sebagai warga prihatin (dan ada latar belakang perubatan) ni pergilah bertanya. Nah! terkejut saya. Seorang tu demam campak dan lagi seorang pula kudis buta (kedua-duanya boleh berjangkit).

Jadi dilema sekejap.. T_T

  1. Apa nak buat dengan situasi masa tu di mana ada ramai budak kecil yang terdedah kepada dua jenis penyakit berjangkit ni? (dalam suasana keramaian yang ramai orang berkumpul dan masing-masing dah lama tak berjumpa, keadaan ini perlu dikendalikan dengan penuh berhemah dan teliti.. jangan sampai ada yang kecil hati dan terluka!)
  2. Bagaimana nak menasihati keluarga si kecil ni dari segi penjagaan anak mereka?
  3. Bagaimana nak elakkan penyakit si kecil berdua ni dari menjangkiti anak saya dan anak-anak kecil yang lain?

Akhirnya, saya sampaikan serba ringkas mesej kesihatan pada kedua-dua keluarga berkenaan. Yang paling penting, BAWA ANAK KE KLINIK untuk terima rawatan yang betul dan ASINGKAN ANAK DARI BUDAK-BUDAK LAIN dan tempat keramaian. Sebab apa? Sebab penyakit yang anak mereka hadapi biarpun tak teruk atau merbahaya pada nyawa mereka, tapi IA PENYAKIT BERJANGKIT! Kesian dengan anak kecil lain ataupun orang lain yang berimuniti rendah terdedah dan berisiko menghidapi penyakit yang sama. It really is not fair to them and the rest. 

Dan seterusnya, amalkan gaya hidup yang bersih seperti rajin cuci tangan (tangan sendiri dan juga tangan anak), kerap tukar cadar/tuala anak, dan ajarkan anak agar jangan berkongsi peralatan peribadi seperti tuala, baju dan berus gigi. (oh please.. don’t get me started on oral hygiene. berbuih mulut nanti nak cerita.. huhu).

anak ada peny berjangkit

Kesihatan anak adalah tanggungjawab bersama. Bukan setakat kita sebagai ibu bapa yang perlu ambil berat soal kesihatan anak, warga komuniti yang lain pun perlu ambil berat sama. Contoh mudahlah, rumah kita bersih tapi rumah jiran sebelah penuh bekas air kosong dan jadi tempat pembiakan nyamuk.. bolehke kita nak pastikan yang nyamuk rumah sebelah takkan gigit kita dan anak kita di rumah sebelah ni? Iye tak?

Jadi, semua orang perlu ambil berat dan jalankan peranan masing-masing.

After all, it takes a village to raise A kid. 

Jadilah warga komuniti yang prihatin. Bersama kita boleh!!

 

 

Boleh bagi anak main gajet, tapi ..

Bab anak-anak main gajet ni dah ramai orang perdebatkan. Saya percaya masing-masing ada pendapat sendiri. Bagaimanapun, kita sebagai ibu bapa janganlah cepat menghukum dan memandang serong. Ada ‘kisah’ di sebalik kenapa si ibu A beri anaknya main gajet di meja makan di restoran ataupun kenapa si bapa B beri anaknya gajet sebagai penghibur di dalam kapal terbang.

To me, as parent, you do what you have to do. Take every advice given to you with a pinch of salt. At the end of the day, what every parent want is for their kid to grow up healthy and happy. 

Bagi anak main gajet boleh, tapi ada beberapa perkara yang perlu diteliti:

  1. Peranan ibu bapa SANGAT PENTING bagi MEMANTAU & MENGAWAL  anak. Perlu sentiasa pantau dan kawal apa yang anak main dan tempoh masa anak bermain (content, type of game, and duration of game playing/ video watching).

Pakar menyarankan agar anak-anak di bawah umur 2 tahun TIDAK diberikan sebarang gajet.

Jadi, kalau dah terberi tu (macam saya.. ), baca betul-betul point2 seterusnya.

anak dan gajet

2. Sebaik-baiknya elakkan pembelian gajet khas untuk anak anda. Berikan mereka main menggunakan gajet anda/ kongsi adik-beradik supaya lebih senang dipantau apa yang dilihat dan juga boleh mengurangkan masa penggunaan.

3. Tak semua video/ game kanak-kanak tidak elok. Yang buatkannya jadi tak elok adalah apabila diberikan BERLEBIHAN TANPA PEMANTAUAN. Bila anak tengok terus-menerus tanpa rehat, di situlah mulanya masalah. Jadi, jika nak beri anak tengok, lebih elok dipasangkan pada TV daripada dipasangkan pada smartphone. 

Alasannya, boleh jauhkan jarak mata anak dengan gajet, anak boleh tengok dengan posisi duduk dan leher yang selesa, dan andapun boleh tengok sekali. Ini juga boleh mengurangkan ketagihan gajet kerana anak tidak boleh sentuh TV dan ubah sesuka hati (ps: sila sorok remote control)

4. Semasa tengok lagu/ kartun/ educational video, pastikan anda ada bersama (ada bersama maksudnye duduk di sebelah mereka). Jadikan apa yang dilihat sebagai topik perbualan/ pelajaran dengan anak.

Bahasa mudahnya: anak perlu DENGAR suara anda LEBIH BANYAK dari suara gajet. Ataupun anak perlu berINTERAKSI dengan anda biarpun sedang tengok video.

Caranya?

Contoh paling mudah —

a) menari bersama sewaktu tengok video Shark Song. Anak seronok menari, anda pun boleh bersenam. Boleh jadi satu bonding session yang sangat menggembirakan! Cubalah!

b) anak saya suka tengok video kartun jepun tentang polis/ bomba/ ambulans . Saya akan buat alih suara pada watak binatang yang ada dalam video tu. Adakalanya saya tambah ulasan tentang apa yang berlaku dalam video tu.. Contoh: kenapa burung-burung lari bila pokok terbakar, apa yang bomba akan buat setiap kali terima panggilan telefon kecemasan, dan lain-lain.

Pendek kata, luangkan masa tengok bersama!

5.. Jangan beri anak main gajet dalam bilik tidur ataupun sebelum waktu tidur anak.

6. bila dah sampai masa untuk tutup gajet, BE FIRM AND CONSISTENT. Jangan beri semula kepada anak biarpun anak meragam. Lama-kelamaan anak akan faham yang gajet ni adalah satu priviledge atau kelebihan dan bukannya sesuatu yang mereka mesti dapat.

7. Beri amaran/ beri masa kecederaan sebelum tutup gajet.

“Lagi 5 minit kita tutup phone”.

“Lepas habis lagu ni kita tutup TV”.

Ini beri masa untuk mereka bersedia dan mereka pun kurang meragam apabila dah tutup gajet.

8. Alihkan perhatian anak dari gajet dengan aktiviti fizikal yang menarik. main kubu-kubu ke, melukis dengan cop kentang ke, main kolam ke.. perlu kreatif penuhkan masa anak.

9. Yang paling penting, jika tak mahu anak main gajet, kurangkan anak nampak kita pegang gajet.

Anak belajar dari apa yang mereka perhati dan lihat saban hari. Jangan salahkan anak suka main gajet kalau phone pun tak lepas dari tangan kita!

10. Simpan penggunaan gajet sebagai talian hayat ataupun last resort . Bukan setakat dari kita sebagai ibu bapa, tapi juga daripada pihak pengasuh, datuk nenek dan saudara-mara. Perlu konsisten.

11. Lebihkan masa berkualiti dengan anak. Hubungan lebih erat dengan anak buatkan anak kurang minta gajet.

ATTENTION IS GOLD people! 

Akhir kata, semoga anak-anak kita sentiasa dilindungi dan membesar dengan sihat sejahtera.