Ini perkara wajib anda ambil tahu jika anak anda menyusu botol!
Kebelakangan ini, saya jumpa banyak kes anak bawah setahun yang malang menghidap dysentery atau dalam bahasa mudahnya mengalami cirit-birit yang teruk (jangka masa pendek) yang disebabkan oleh jangkitan kuman E.Coli, Salmonella, Campylobacter ataupun jangkitan parasit amoeba E. Histolytica. Antara faktor berisiko tinggi yang kita jumpa pada kanak-kanak ini adalah mereka ni minum susu botol+ibu bapa/penjaga mereka tidak prihatin pada isu-isu penjagaan perkara berkaitan dengan susu botol. Perkara berkaitan apa pula ni? Haa.. bila sebut susu botol, mesti anda ingat botol+puting susu saja kan? Sebenarnya, ada EMPAT perkara penting yang kita sebagai ibu bapa WAJIB ambil tahu dan beri perhatian.
1.Penyimpanan susu tepung itu sendiri –
Yang ini orang selalu lupa (saya pun terlepas pandang.T_T). Jika anda jenis yang beli tin susu dan buang setiap kali benda baru, itu tak ada masalah. Tapi, berapa ramai orang yang mampu beli kan? Selalunya orang beli yang refill dan ganti saja bila susu dah nak habis. Betul tak?
Yang ini, pastikan:
- anda guna bekas kedap udara untuk simpan susu tepung
- jangan lupa pastikan anda beli dan guna susu yang asli dan tidak luput tarikh penggunaan
- sebelum refill dengan susu baru, basuh dan keringkan dulu bekas susu tadi. Ini penting supaya tidak ada pencemaran silang (cross contamination) dari kawasan sekeliling. Iyelah, kadang-kadang kita tak perasan tangan dah pegang macam-macam..
- Simpan di kawasan yang kering dan tidak panas (kelembapan dan suhu yang tinggi boleh merosakkan kualiti susu tepung)
2. Penjagaan botol susu anak
Yang ini, macam biasalah:
- Basuh dengan air panas/sabun pencuci botol susu setiap kali selepas digunakan.
- Guna berus botol untuk menghilangkan saki-baki susu yang tertinggal dalam botol. (jangan lupa ganti berus botol bila tengok dah tak berapa elok)
- Steril kan botol anak (dan puting botol juga) setiap kali sebelum penggunaan pertama kali. Bagi yang anak mereka kurang dari umur 3 bulan/ lahir pra matang/ mengalami masalah dengan sistem imunisasi badan, anda perlu rajin sterilkan botol selalu memandangkan mereka ini lebih mudah dijangkiti penyakit berbanding anak-anak lain.
- Berhati-hati dengan botol yang bentuk pelik-pelik, ia nya lebih susah dibersihkan berbanding botol biasa!
Prevention is gold, people!
3. Penjagaan puting susu botol:
Ini lebih kurang macam penjagaan botol susu tadi. Beberapa tambahan lain:
- jika anda mampu, ganti sekerap mungkin (saranan sebulan sekali). Tapi rasanya ini option yang tak berapa praktikal bagi ibu bapa yang menggunakan botol susu berjenama (sebab kebiasaannya botol susu ini menggunakan puting susu khas untuk botol mereka dan harganya pun lebih mahal daripada biasa).
- Rule of thumb: anda nampak puting susu tu dah terkoyak (duhhh..), lembik ataupun susu keluar terlalu laju.. silalah tukar. Susu sepatutnya keluar secara titisan yang sama (even drop) dan bukannya laju macam air paip (not steady stream)!
4. Tempat pengering botol susu a.k.a drying rack
Ini pun orang selalu terlupa. Almaklum, dia tersidai je kat tepi sinki/atas meja. Jangan tunggu sampai rupanya dah geli-geleman baru nak cuci. Tempat pengering ni cepat mengumpul habuk dan jadi petry dish untuk kuman disebabkan ia selalu lembap dengan air yang menitis dari botol susu yang dikeringkan.
- basuh sekurang-kurangnya sekali seminggu.
- basuh tangan anda dulu sebelum mengendalikan cawan anak yang turut diletakkan di tempat pengering ini.
- Jauhkan telefon anda daripada kawasan dapur atau tempat pengering ini (tangan dan telefon anda terdedah kepada pelbagai kuman dari tempat sekeliling).
Nampak macam banyak dan ala-ala OCD sikit, tapi apa salahnya kita ambil berat lebih sikit demi kesihatan anak-anak. Kesian si manja bila cirit-birit dan sakit perut hanya kerana kita malas/tak ambil berat hal-hal sebegini.
Akhir kata, semoga kita menjadi ibu bapa/penjaga anak-anak yang prihatin dan peka dengan kebersihan sekeliling, khasnya empat perkara berkaitan susu botol ini. Bye!