Mendapatkan taska terbaik untuk si manja anda.

Entry kali ini sesuai untuk mereka yang selalu berpindah-randah @ bertukar tempat kerja macam saya. Dah nama pun kerja kerajaan, orang kesihatan pula tu. Makanya, ke mana kita diarahkan berkhidmat, ke situ la kita berada. Sekarang, saya balik semula ke universiti, memacu keras tenaga bagi memastikan semester terakhir saya (semester keenam PhD) kekal sebagai semester terakhir (mohon doa semua). Saya selalu bergurau dengan staf unit saya, surat rasmi yang saya sign patutnya tukar ayat “Saya yang menurut perintah” kepada “Saya yang sedang berusaha”. Huhu.

Ok, kembali kepada topik. Bagaimana nak mendapatkan taska terbaik untuk anak kita? Boleh rujuk tips basic di sini. Anak saya Adam baru berumur 20 bulan, tapi setakat ini dah merasa tinggal dengan 3 pengasuh dan dua taska. Biarpun susah, jangan takut untuk cepat-cepat tukarkan anak ke tempat lain sekiranya anda rasa tak sedap hati/ tengok anak tak seronok/ jumpa apa-apa tanda yang memberi klu anak anda tidak dijaga dengan baik. Untuk Adam, alhamdulillah, setakat ini tak pernah lagi berjumpa mana-mana guru taska / pengasuh yang tak elok, cuma tak serasi saja ataupun terpaksa tukar sebab kami berpindah rumah. Untuk kali ini, ada beberapa tips tambahan yang nak saya kongsikan:

1.Cari taska yang ada aktiviti/ sesi pembelajaran tambahan untuk anak. 

Sesi pembelajaran yang saya maksudkan di sini bukannya macam di sekolah tu, tapi sebaliknya aktiviti yang fokus kepada daya perkembangan mental, fizikal dan spiritual (bonus) anak-anak. Contohnya: taska PERMATA, Montessori, PASTI, Naluri Bestari, dan lain-lain. Kenapa? Sebab mereka bukan sekadar jaga, malah bantu latih perkembangan anak-anak melalui cara yang seronok dan selamat. Taska sebegini selalunya ada buku rekod untuk setiap anak-anak dan mereka akan berikan laporan kepada ibu bapa (laporan bergambar bila beraktiviti, laporan bertulis 6 bulan sekali ataupun laporan verbal bila berjumpa ibu bapa).

543c66fb-1bb0-40f0-969c-cf82c3616f6f

2. Pihak taska ada minta rekod surat beranak anak dan rekod imunisasi anak. 

Bagi saya, ini penting sebab sekurang-kurangnya bila mereka minta rekod ini dengan anda, itu menunjukkan yang mereka prihatin dengan kesihatan dan keselamatan anak anda dan mereka ada sistem pengurusan yang teratur. Jangan lupa tanyakan juga sama ada anak lain yang turut dijaga dah ambil imunisasi ikut waktu atau tidak. Ini hak kita sebagai warga bermasyarakat. (Saya ada pengalaman dengan taska yang tak ambil pusing perkara ini.. kalau tak jadi apa-apa tak apa, tapi bila ada wabak penyakit berjangkit? Masa tu memang masaklah.. nak kena cuti lama jaga anak sakit, tak kena gaya anak-anak lain di rumah ataupun kita pun kena sekali..)

3. Taska ada tawarkan servis ambil/hantar anak ke rumah (bonus). 

Tak semua taska sediakan perkhidmatan ni, tapi jika ada, alhamdulillah! Mudah urusan kita. Bayar lebih sikit tak apa.. asalkan anak terjaga dan kerja kita pun dimudahkan. Tapi.. pastikan bila mereka ambil anak kita, kenderaan mereka tu lengkap dengan car seat ataupun ada orang lain untuk pegangkan anak jika anak masih kecil.

4. Perhatikan tingkah laku dan tutur kata anak selepas tinggal di taska selepas seminggu/ dua minggu. 

Anak-anak khasnya yang dah belajar/ mula bercakap, mereka ni macam sponge. Cepat sangat meniru semua perkara. Yang mana mereka dapat dari kita, kita sendiri kena take note – ubah mana-mana yang perlu. Disebabkan anak kita ni berada di taska lebih 9-10 jam atau lebih sehari, adakalanya mereka pick up kelakuan dari kawan-kawan setaska. Selalunya cikgu taska memang ok, kadang-kadang kelakuan anak-anak lain yang tak berapa nak ok. Jika anak anda dah mula bertindak kasar, cakap kasar ataupun buat perkara lain yang tak elok yang dia tak pernah buat sebelum itu, bincang dan highlightkan perkara itu dengan cikgu. Mungkin perlu dilakukan sesuatu yang lebih drastik untuk ketenangan bersama. (Jangan terkejut kalau rupa-rupanya anak anda yang jadi pengacau di taska!) Itu maksudnya, anak masih kurang perhatian BERKUALITI bersama kita si ibu bapa ataupun ada cara didikan yang perlu kita muhasabahkan dan tukar. Sebab itulah, ilmu mendidik ini penting!

Akhir kata, ilmu harus disertai dengan amal. Dan bila sudah beramal, jangan lupa untuk bertawakal dengan doa dan berserah kepada-Nya.

Semoga anak-anak kita bakal jadi pewaris bangsa dan negara yang berkualiti, hebat dan menghebatkan!

22 Tips memilih taska TERBAIK untuk si comel anda.

Hati ibu bapa mana yang tak gusar melihat pelbagai kes penderaan ke atas kanak-kanak berlaku di sana sini. Mengucap panjang sambil mengurut dada melihatnya. Namun, tak semuanya kelam, tak semuanya ribut.

Di taska ni mereka selalunya ada sistem, ada program untuk anak-anak kita. Perjalanan mereka teratur, khasnya berkenaan cuti. Taska selalunya cuti pada cuti umum sahaja. Jika perlu cuti lebih, mereka akan maklumkan lebih awal agar ibu bapa dapat membuat perancangan awal. Tugas mereka pun dah tentulah 100% sepenuh jiwa raga jaga anak kita; sebab itu lah bisnes sumber pendapatan mereka! Tak jaga baik-baik, pelanggan lari! Jadi, kita kenalah cari betul-betul..

Jom kita tengok tips-tips memilih taska TERBAIK untuk si manja anda..

  1. Cari taska yang berdaftar dengan KKM. 
  2. Selidik kuota cikgu : bayi (maksimum boleh dijaga) . Lebih ramai cikgu, lebih bagus. Selalunya 1 cikgu: 3 bayi sahaja.
  3. Lokasi taska berdekatan dengan tempat kerja kita. Senang nak balik menyusu atau lari ke sana bila-bila perlu.
  4. Sesekali buatlah lawatan mengejut. Lihat sendiri bagaimana mereka layan anak kita dan anak-anak lain. Kalau lambat sangat buka pintu@ tak bagi kita masuk.. mesti ada buat sesuatu yang tak sepatutnya..
  5. Pihak taska yang ‘friendly’ dengan ibu bapa. Ada whatsapp group ke, cikgu rajin update keadaan anak (dengan gambar of course), ataupun ada sambutan hari raya/ hari keluarga. Itu tanda mereka komited nak jaga pelanggan!
  6. Pengusaha taska ada background pendidikan kanak-kanak.
  7. Taska mesra susu ibu — boleh menerima EBM dan tahu cara-cara mengendalikan susu perahan ni.
  8. Cikgu-cikgu taska sentiasa alert dengan keadaan anak anda. Pengalaman saya sendiri, cikgu Adam cepat je mesej/call inform jika anak saya Adam demam/tak sihat. Siap ada suhu badan lagi! Dan mereka beritahu apa langkah yang mereka dah ambil.. buka baju, jerlum anak dengan kain basah, etc. (ini bonus point paling besar untuk anda)
  9. Perhatikan reaksi anak-anak bila dihantar ke taska. Bagi masa penyesuaian lebih kurang 2-3 minggu. Kalau si kecil memanjang je menangis, tak nak bercakap, meraung-raung nak balik ataupun tak dapat ditenangkan biarpun anda dah lebih 5 minit tak nampak depan mata (menyorok tepi dinding lihat bagaimana reaksi anak dan bagaimana cara cikgu pujuk).. cepat-cepatlah tukar ke tempat lain.
  10. Perhatikan bagaimana hubungan anak kita apabila bersama dengan cikgu taska. Kanak-kanak ni tak pandai menipu, tak pandai bohong sunat. Kalau mereka tak suka, memang cepat mereka tunjukkan!
  11. Taska ada terima kunjungan dari pihak KKM dari semasa ke semasa- contohnya misi datang periksa gigi/ rekod vaksinasi anak, pegawai kesihatan datang periksa status kebersihan dan keselamatan taska.
  12. Taska terletak di kawasan yang selamat – perumahan (jiran taska rajin ada di rumah – mereka boleh kesan awal jika ada apa-apa masalah), dan taska mudah dilihat dan tidak terlindung dari luar.
  13. Lihat bagaimana pihak taska mengutamakan hal keselamatan anak-anak anda. Adakah pagar sentiasa ditutup dan berkunci? Ada CCTV tak? Ini penting kerana anak-anak sifatnya suka meneroka, bergerak aktif ke sana ke sini. . risau juga jika mereka keluar dan diculik orang yang tidak dikenali.
  14. Taska anda ada laluan kecemasan, tangga kecemasan dan juga alat pemadam kebakaran.
  15. Pengasuh gembira apabila melihat anak anda.
  16. Lihat bagaimana akhlak cikgu-cikgu taska berkenaan. Jaga aurat tak? Rajin senyum tak? Baik ke tak? …
  17. Cikgu taska turut sama membantu menyelesaikan masalah yang berkaitan penjagaan anak. Sebagai contoh, dalam kes anak saya, mereka pun turut sama risau dan sama-sama cari jalan bagaimana nak beri Adam menyusu (Adam tak mahu menyusu botol). Sudahnya, tengah hari saya ‘lari’ balik menyusu badan dan pada waktu lain mereka tolong beri susu Adam dengan sudu. Leceh tapi itu saja langkah yang dapat dibuat.
  18. Anak anda nampak BERSIH, WANGI dan TERURUS. ♥♥♥
  19. Check kawasan tempat tidur anak sewaktu berada di taska. Jika tidur menggunakan tilam, lihat bagaimana keadaan tilam tersebut? Bersih? Ada bau-bau yang kurang enak tak?
  20. Sesekali perhatikan cara mereka tidurkan anak-anak di taska. Jika seragam dan kanak-kanak tidur nyenyak sangat sehingga tak terbangun langsung (beramai-ramai), risau juga kalau-kalau mereka ni diberikan ubat tidur. Adakah ada yang tidur dengan matanya ditutupkan kain? Ada risiko lemas di situ. Jadi, sila peka dan prihatin ye ibu-ibu.
  21. Tengok juga bagaimana susun atur perabot di taska. Sebaik-baiknya taska yang perabotnya tidak banyak, bucu-bucunya tidak tajam/dilindungi, dan tidak mudah diakses oleh kanak-kanak khasnya peralatan tajam ataupun yang mengandungi ubat-ubatan.
  22. Hati kecil anda rasa TENANG bila meninggalkan anak kecil anda di situ. Percayalah pada gerak hati kecil anda selaku seorang ibu/ bapa.

Apa sekalipun, banyakkan berdoa pada Dia. Allah lah sebaik-baik Penjaga dan Dialah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Semoga jumpa taska yang terbaik untuk anak anda!