Bila berlaku kematian di dalam keluarga..
Minggu ini adalah minggu muhasabah dek kerana banyaknya peringatan kematian menyelubungi kami T_T. Kami sendiri nyaris kemalangan di jalan Sungai Tua demi mengelakkan seorang penunggang motosikal yang bergesel dengan kereta di jalan setentang kami. Banyak perkara yang bermain di fikiran masa tu, tapi alhamdulillah bukan masa kami lagi, dan anak kami juga sihat dan selamat. Hari ini dikejutkan dengan berita bakal kehilangan seorang sahabat yang amat baik dan banyak berbudi. Bakal meninggalkan anak sekecil 3 bulan dan isteri yang setia mengharapkan keajaiban. Mohon doakan yang terbaik untuk beliau sekeluarga.
Bila berlakunya kematian dalam keluarga.. memang anak-anak lah yang paling terkesan kerananya. Biarpun mereka masih kecil, tak mampu menyuarakan perasaan, hakikatnya mereka juga turut merasa kehilangan. Apatah lagi yang hilang itu adalah pelukan kejap si ayah yang penyayang, si ibu yang lembut mendampingi atau sahabat rapat teman gelak menangis mereka (kes maahad tahfiz terbakar). Anak kecil yang berhadapan dengan kematian ini menunjukkan reaksi kesedihan mereka bergantung pada umur mereka, sejauh mana rapatnya mereka dengan yang meninggal itu dan apakah sokongan yang mereka terima. Sebaiknya kita sebagai ahli keluarga terdekat atau masyarakat sekeliling membantu si kecil ini sebaik mungkin. Bagaimana nak bantu? Secara ringkasnya adalah teknik 4C.
1. Communicating (berkomunikasi)
Amat penting kematian orang yang tersayang disampaikan kepada si manja dengan bahasa yang jujur, jelas dan mudah. Bila sebut kematian, anak kecil mungkin tak akan faham sepertimana orang dewasa faham.
Iaitu mati adalah universal (semua orang pun akan mati), irreversible (kekal selama-lamanya) dan non-functional state (maksudnya si mati tidak boleh buat sama seperti yang hidup. Contoh: makan, minum, bersekolah).
Anak semuda usia 4 tahun sudah boleh memahami bahawa kematian adalah sesuatu yang kekal (bermaksud mereka tidak akan dapat berjumpa lagi dengan yang telah meninggal).
Jangan sama sekali tipu si kecil! Ini hanya akan lebih memburukkan keadaan dan kita sendiri pun akan lebih sedih dan terasa hati apabila anak asyik bertanya di kemudian hari.
2. Care (kasih dan sayang).
Setiap kanak-kanak memberi respons berbeza terhadap kematian dalam keluarga. Ada yang akan menangis, ada yang akan bertanya soalan, ada juga yang langsung tak ada tindak balas. Semua tu OK. Teruskan bersama mereka, peluk mereka, berikan jaminan yang anda ada di sisi mereka dan mereka tidak akan ditinggalkan. Kesedihan yang menyelubungi kematian (grief) boleh jadi satu pengalaman yang sangat sunyi dan menyeksakan tak kira bagi orang dewasa mahupun kanak-kanak. Jadi, berikan masa. Amat penting bagi seorang anak kecil yang kehilangan tempat bergantung kekal merasa selamat dan disayangi (biarpun bukan dari pihak kita yang kehilangan pasangan, perasaan selamat, dijaga dan dihargai itu mesti diteruskan dan dibaja oleh ahli keluarga yang lain).
3. Continuity (rutin kehidupan).
Ini SANGAT SANGAT PENTING! Cuba sedaya upaya memastikan rutin asal anak tidak terganggu, khasnya bagi yang bersekolah. Pastikan pihak sekolah diberitahu awal agar proses anak bersekolah dapat diteruskan dengan lancar dan mereka pun dapat membantu memberi sokongan di mana perlu.
4. Connection (hubungan dengan keluarga)
Apabila ada ahli keluarga yang meninggal, adakalanya keluarga akan jadi seperti kehilangan dan tidak sempurna. Amat penting bagi anak kecil untuk masih berasa yang dirinya masih terikat (connected) kepada yang telah meninggal dan juga anda yang masih hidup di sampingnya. Bantu mereka untuk mengingati yang telah pergi dengan recall dan berkongsi memori indah bersama si mati. Tindakan melarang anak kecil menyebut nama si mati adalah salah dan malah ini akan menyebabkan trauma emosi mereka menjadi lebih teruk. Jika anak kecil nak bermain hatta ketika sedang upacara pengkebumian sekalipun, biarkan mereka bermain. (mungkin perlu dialihkan sekejap dari majlis agar tidak mengganggu majlis). Itu adalah terapi untuk mereka.
Ada tiga soalan penting yang mungkin tidak tertanya oleh si kecil tapi MESTI anda jelaskan pada mereka, kerana inilah yang akan bermain di fikiran si kecil:
- siapa yang akan jaga mereka?
- adakah mereka pun akan jatuh sakit dan mati juga?
- adakah kematian si ibu/ayah adalah disebabkan oleh mereka?
Yang penting bagi kita selaku ahli keluarga dan masyarakat sekeliling, pastikan mendapatkan bantuan sekiranya anak kecil yang berhadapan dengan kematian orang yang penting dalam hidup mereka ni menunjukkan tanda-tanda amaran seperti:
- susah/ tak mahu bercakap
- bertindak ganas
- mengalami tanda fizikal yang kerap dan tidak ada punca sebenar seperti sakit kepala/ sakit perut.
- masalah tidur/ masalah pemakanan
- tidak dapat menumpukan perhatian di sekolah
- berasa bersalah melampau
- tingkah laku merosakkan diri sendiri
Apa sekalipun, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Semoga Allah berikan kekuatan, kesabaran dan jalan keluar terbaik bagi mereka yang berhadapan dengan situasi ini TT_TT.
Sesungguhnya, kematian itu dekat.
Adakah kita mengambil iktibar daripadanya?
Semoga secebis ilmu ini bermanfaat pada kita.