Asma di kalangan kanak-kanak: 6 mitos yang anda perlu tahu.

Sesekali tengok anak kena ‘sedut gas’ di hospital, memang sedih. Anak meraung satu hal, nak mengepong si kecik pun satu hal juga. Pendek kata, yang menyedut gas tu penat, yang memegang si kecik yang ‘sedut gas’ pun penat.. Kali ni saya tergerak hati nak ulas berkenaan mitos-mitos yang selalu saya dengar apabila perkataan asma kanak-kanak (childhood asthma) disebut. Tambah pula, musim jerubu beransur tiba (selalunya ke penghujung tahun). Jom kita sama-sama update tentang mitos-mitos berkenaan asma di kalangan kanak-kanak:

 

MITOS 1: Kanak-kanak yang menghidap asma ni mesti disebabkan penyakit keturunan. 

Jawapannya: TIDAK. 

Seseorang kanak-kanak boleh menghidap asma tidak kira sama ada dia mempunyai sejarah asma di kalangan keluarga atau tidak.

MITOS 2: Kanak-kanak yang terdedah kepada asap rokok mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap asma. 

Jawapannya: YA.  

Asma ini adalah sejenis penyakit radang salur pernafasan yang kronik,  di mana ia menyebabkan salur pernafasan menjadi merah, bengkak, mengeluarkan lendir berlebihan dan mudah teransang (hypersensitive).

asthma2

Analogi mudah: 

Terowong jalan yang kita lalu hari-hari. Jika tiada apa yang menghalang laluan, mudah je kita lalu. Tapi bila ada pasir, batu-batu selongok kiri kanan, air banjir melimpah masuk terowong ke.. tentulah laluan kita jadi terhalang. Nak masuk tak boleh. Nak keluar pun tersangkut. Macam tu la dengan saluran pernafasan. Cumanya saluran pernafasan ni fungsinya lebih kritikal. Jika laluan jalan terhalang, kita boleh guna laluan alternatif. Tapi jika laluan udara (a.k.a saluran pernafasan) terhalang, apa lah daya kita kan?

Sebab itu, sebarang elemen yang telah TERBUKTI menyebabkan kerengsaan pada saluran pernafasan khasnya bagi yang menghidap asma, cubalah elakkan. Dalam erti kata lain, dia adalah faktor risiko/ trigger kepada serangan asma.

Contohnya: asap rokok, debu-debu kotoran, bau cat, alahan kepada bulu binatang peliharaan, dan lain-lain.

MITOS 3. Anak yang selalu batuk-batuk adalah besar kemungkinan menghidap asma. 

Jawapannya: YA. 

Tapi! Dapatkan pengesahan doktor terlebih dahulu ya. Gejala batuk juga boleh disebabkan oleh penyakit seperti influenza, radang paru-paru, batuk kokol, dan penyakit tibi. Pastikan anak anda bebas dari penyakit berjangkit sebelum si manja dicop ada asma.

Antara gejala lain asma kanak-kanak adalah: batuk pada waktu malam (waktu tidur), susah bernafas, rasa ketat di dada dan adakalanya sehingga nafas jadi berbunyi seperti wisel.

MITOS 4: Anak-anak yang menghidap asma ni tak boleh dibiarkan bermain lasak/bersukan. 

Jawapannya: TIDAK. 

Anak-anak yang menghidap asma boleh saja dibiarkan bermain seperti biasa, malah bersukan pun boleh.. asal saja pastikan rawatan asma diambil dengan betul dan mengikut dos yang dipreskrib doktor & pastikan pam pelega (kebiasaannya berwarna biru) sentiasa ada dengan anak-anak hatta di tadika/sekolah sekalipun.. dan anak2/cikgu tahu cara menggunakannya. Dengan rawatan yang betul, anak-anak yang menghidap asma boleh menjalani kehidupan yang aktif seperti kanak-kanak biasa.

MITOS 5: Dah dapat pam + aerochamber & bagi anak sedut dah mencukupi. 

aerchamber-child

Jawapannya: TIDAK.

Apa yang saya maksudkan di sini.. tak cukup untuk ibu bapa bagi sahaja anak sedut pam tanpa memahami cara penggunaan yang betul terutamanya cara penjagaan aerochamber. Pengalaman saya di klinik asma dulu, ada banyak kanak-kanak yang berulang kali masuk ke wad biarpun dah menggunakan pam pencegah (warna coklat/ungu bergantung kepada jenis ubat).. bila disiasat (untuk cari punca serangan asma berlaku).. sebilangan besar rupanya disebabkan penjagaan aerochamber yang tidak betul..

MITOS 6: Asma kanak-kanak ni adalah untuk seumur hidup. 

Jawapannya: TIDAK

Asma di kalangan kanak-kanak ni unik. Sebab tu ia dinamakan childhood asthma. Bermaksud, akan sampai satu tahap (meningkat usia remaja), sebahagian kanak-kanak ini akan pulih dan tidak lagi memerlukan rawatan asma. Walau bagaimana pun, ada juga yang serangan asma mereka akan berterusan sehingga umur dewasa.

Ingat ya! Asma kanak-kanak bukanlah bermakna anak perlu digari duduk sahaja di tepi melihat yang lain bermain. Dengan kefahaman yang betul, anak-anak yang menghidap asma boleh saja menikmati dunia kanak-kanak dengan riang dan aktif.

Mendidik dengan ilmu, menjaga dengan penuh kasih-sayang!

Semoga perkongsian kali ini membawa manfaat.

 

 

 

Ciri-ciri mainan terbaik untuk anak anda.

Si manja saya dah berusia 3 tahun sekarang! Alhamdulillah masih diberi peluang untuk bergelar ibu kepada si lincah Adam Naufal =) Lumrah anak yang sedang lasak, mainan pasti bertabur dan rumah pasti bersepah. Saya pun dah lost count berapa kali encik suami naik angin dan pack mainan Adam dan kemudian bungkus simpan dalam stor.  Saya pun pernah juga 2-3x round up buang mainan kecil Adam yang dah patah sana-sini.. adakalanya Adam rajin tolong kemas semula mainan, adakalanya permintaan kami tu dibiarkan saja macam mencurah air ke daun keladi. Tak makan saman!!

Bagi yang ada anak kecil macam saya, mesti dapat relate pada ni: sebilangan kecil duit belanja akan keluar untuk mainan si manja. Pantang nampak. Kan? Dari sebakul sampai berkotak-kotak mainan anak. Tambah-tambah yang anak seorang macam saya. Of course, if you have one kid, you’ll run the show. If you have two or more, you’re just the side kicks.. monitoring (and roaring ^-@) whenever need be.. 

Jadinya, kembali kepada persoalan utama kita. Apa sebenarnya ciri-ciri mainan yang terbaik untuk anak? Macam mana nak bagi anak menghargai dan main dengan mainan yang dibeli tu.. itu cerita lain ok?

1. Lebih ringkas mainan itu, lebih baik. 

Ringkas macam mana tu? Mainan yang ringkas dan mudah di mana anak-anak boleh bina/main sendiri tanpa bantuan dari ibu bapa. Mainan yang tidak mudah buat mereka frust apabila ia tak jadi seperti apa yang mereka mahu.

toy1

2. Mainan yang buat mereka bermain secara aktif. 

Bagi kanak-kanak, masa bermain adalah masa yang paling berharga untuk mereka.

Itulah masa untuk mereka belajar, itulah masa untuk mereka melepaskan tenaga yang tersimpan, itulah masa untuk mereka mengenal diri sendiri, dan itulah juga masa untuk mereka membina hubungan. Masa bermain juga adalah masa untuk mereka belajar peraturan dan memahami apa yang boleh dan tidak boleh diterima dalam hidup bermasyarakat. Main mereka bukan sekadar buat bising atau untuk buat anda marah tau!

toy2

Jadi, bila anak nak main sampai guling-guling, lompat-lompat atau lari sana-sini (tanpa menganggu ketenteraman awam dan tidak mencederakan diri sendiri/orang lain).. biarkanlah. Active play is good for them. Tak perlu beli mainan mahal-mahal, lagi aktif mereka boleh main, lagi mereka suka!

3. Mainan yang meransang si anak untuk lebih kreatif, berani dan menggalakkan anak-anak untuk menyelesaikan masalah. 

Ye, memang saya ada sebut mainan yang ringkas lebih baik. Tapi ringkas tak bermaksud tak ada kegunaan langsung. Ringkas tak bermaksud otak si manja tak digunakan. Anak-anak sedari kecil mereka ni belum terdedah kepada had dan sempadan. Pada mereka, tiada yang mustahil. Jadi, biarpun adakalanya penyelesaian yang mereka fikirkan adalah kurang logik di mata anda, jangan dibunuh semangat ingin mencuba itu. Semaikan kreativiti mereka dan galakkan mereka terus berusaha, meneroka dan mencari penyelesaian terbaik. In another words, observe and let them fails. Jangan terlalu cepat untuk menolong.

toy3

4. Mainan versatile 

Mainan apa tu? Mainan yang versatile ni adalah mainan yang tidak tertakluk kepada satu jenis permainan sahaja. Contoh mudah.. Lego/ kayu blok. Macam-macam benda si kecil boleh buat dengan mainan ni. Point utama adalah mainan yang open ended. Iaitu mainan yang dipandu oleh daya imaginasi anak-anak berbanding model yang disediakan untuk ditiru. Lagi banyak arahan/manual yang diperlukan untuk main, lagi tak versatile mainan tu..

toy4

5. Mainan yang membawa mereka meneroka alam semulajadi. 

Haa.. yang ni penting! Lazim zaman sekarang, ibu bapa sibuk bekerja, bila dah balik penat.. tak larat nak layan anak main di taman.. sudahnya, telefon juga yang disogokkan pada anak. (T_T). Jangan disalahkan jika anak malas/lebih berat badan andai kata kita sendiri tak cuba pupuk sifat meneroka dan ingin tahu mereka. Sesekali bawa mereka ke pantai dan biarkan mereka bermain dengan pasir, kepah-kepah hanyut dan air ombak. Sesekali bawa mereka ke taman dan tunjukkan pada mereka semut-semut, batu, rumput dan pokok bunga di tepi jalan. Main dengan magnet pun boleh jadi penghabis masa yang seronok. Percayalah, ia akan jadi memori indah tak hanya untuk si manja tapi untuk anda juga!

toy5

6. Acting out/role play. 

Ada sebabnya kenapa game arcade, Legoland dan sewaktu dengannya popular di kalangan kanak-kanak. Dunia imaginasi yang tidak terbatas tapi membantu si kecil membina keyakinan diri dan fit into the world. Tengok anak minat apa.. boleh dibelikan mainan yang membantu mereka main role play. Kalau dulu-dulu, kita main masak-masak, kahwin-kahwin, macam tu lah maksudnya. Beri peluang untuk anak cuba dan alami peranan-peranan penting yang ada.. jadi cikgu ke.. bomba ke.. tukang masak ke.. asalkan berkembang minda. Macam saya dengan Adam, rasanya ada dalam 3x juga saya beli mainan doktor-doktor untuk Adam.. set yang murah ada, set yang mahal sikit pun ada. tak pasti Adam tengok dari mana, tapi bila dia ambil syringe dan nak cucuk ubat pada tangan saya.. memang terkejut habis. Siap ada dialog.. “sakit sikit ye mak, mak jangan nangis..”

toy6

So, all in all, saya pun belajar banyak dari bermain dengan Adam. Semoga setiap dari kita diberi kesihatan tubuh badan dan emosi untuk kekal menggembirakan anak-anak dan memenuhi kehendak tumbesaran mereka.

Hingga jumpa lagi!

 

Ini perkara wajib anda ambil tahu jika anak anda menyusu botol!

Kebelakangan ini, saya jumpa banyak kes anak bawah setahun yang malang menghidap dysentery atau dalam bahasa mudahnya mengalami cirit-birit yang teruk (jangka masa pendek) yang disebabkan oleh jangkitan kuman E.Coli, Salmonella, Campylobacter ataupun jangkitan parasit amoeba E. Histolytica. Antara faktor berisiko tinggi yang kita jumpa pada kanak-kanak ini adalah mereka ni minum susu botol+ibu bapa/penjaga mereka tidak prihatin pada isu-isu penjagaan perkara berkaitan dengan susu botol. Perkara berkaitan apa pula ni? Haa.. bila sebut susu botol, mesti anda ingat botol+puting susu saja kan? Sebenarnya, ada EMPAT perkara penting yang kita sebagai ibu bapa WAJIB ambil tahu dan beri perhatian.

 

1.Penyimpanan susu tepung itu sendiri

Yang ini orang selalu lupa (saya pun terlepas pandang.T_T). Jika anda jenis yang beli tin susu dan buang setiap kali benda baru, itu tak ada masalah. Tapi, berapa ramai orang yang mampu beli kan? Selalunya orang beli yang refill dan ganti saja bila susu dah nak habis. Betul tak?

Yang ini, pastikan:

  • anda guna bekas kedap udara untuk simpan susu tepung
  • jangan lupa pastikan anda beli dan guna susu yang asli dan tidak luput tarikh penggunaan
  • sebelum refill dengan susu baru, basuh dan keringkan dulu bekas susu tadi. Ini penting supaya tidak ada pencemaran silang (cross contamination) dari kawasan sekeliling. Iyelah, kadang-kadang kita tak perasan tangan dah pegang macam-macam..
  • Simpan di kawasan yang kering dan tidak panas (kelembapan dan suhu yang tinggi boleh merosakkan kualiti susu tepung)

2. Penjagaan botol susu anak 

Yang ini, macam biasalah:

  • Basuh dengan air panas/sabun pencuci botol susu setiap kali selepas digunakan.
  • Guna berus botol untuk menghilangkan saki-baki susu yang tertinggal dalam botol. (jangan lupa ganti berus botol bila tengok dah tak berapa elok)
  • Steril kan botol anak (dan puting botol juga) setiap kali sebelum penggunaan pertama kali. Bagi yang anak mereka kurang dari umur 3 bulan/ lahir pra matang/ mengalami masalah dengan sistem imunisasi badan, anda perlu rajin sterilkan botol selalu memandangkan mereka ini lebih mudah dijangkiti penyakit berbanding anak-anak lain.
  • Berhati-hati dengan botol yang bentuk pelik-pelik, ia nya lebih susah dibersihkan berbanding botol biasa!

    Prevention is gold, people! 

 

3. Penjagaan puting susu botol:

Ini lebih kurang macam penjagaan botol susu tadi. Beberapa tambahan lain:

  • jika anda mampu, ganti sekerap mungkin (saranan sebulan sekali). Tapi rasanya ini option yang tak berapa praktikal bagi ibu bapa yang menggunakan botol susu berjenama (sebab kebiasaannya botol susu ini menggunakan puting susu khas untuk botol mereka dan harganya pun lebih mahal daripada biasa).
  • Rule of thumb: anda nampak puting susu tu dah terkoyak (duhhh..), lembik ataupun susu keluar terlalu laju.. silalah tukar. Susu sepatutnya keluar secara titisan yang sama (even drop) dan bukannya laju macam air paip (not steady stream)!

4. Tempat pengering botol susu a.k.a drying rack 

Ini pun orang selalu terlupa. Almaklum, dia tersidai je kat tepi sinki/atas meja. Jangan tunggu sampai rupanya dah geli-geleman baru nak cuci. Tempat pengering ni cepat mengumpul habuk dan jadi petry dish untuk kuman disebabkan ia selalu lembap dengan air yang menitis dari botol susu yang dikeringkan.

  • basuh sekurang-kurangnya sekali seminggu.
  • basuh tangan anda dulu sebelum mengendalikan cawan anak yang turut diletakkan di tempat pengering ini.
  • Jauhkan telefon anda daripada kawasan dapur atau tempat pengering ini (tangan dan telefon anda terdedah kepada pelbagai kuman dari tempat sekeliling).

Nampak macam banyak dan ala-ala OCD sikit, tapi apa salahnya kita ambil berat lebih sikit demi kesihatan anak-anak. Kesian si manja bila cirit-birit dan sakit perut hanya kerana kita malas/tak ambil berat hal-hal sebegini.

menyusu botol

menyusu botol_2

Akhir kata, semoga kita menjadi ibu bapa/penjaga anak-anak yang prihatin dan peka dengan kebersihan sekeliling, khasnya empat perkara berkaitan susu botol ini. Bye!