3 langkah menyokong emosi anak-anak di kala pandemik COVID19.

Tsumma alhamdulillah, bagi Malaysia, kita sekarang di fasa pemulihan. Banyak sektor yang dah dibuka dan anak-anak pun dah ramai yang dibawa oleh ibu bapa ke luar. Semoga Allah kekalkan keselamatan dan kesejahteraan untuk kita. Post ni agak overdue tapi better late than never! Ilmu Tuhan ni insyaAllah boleh saja kita guna di mana-mana, khasnya bagi ilmu kesihatan yang melibatkan penyakit berjangkit.

Memang benar satu dunia terkesan dengan pandemik COVID19 ni, kalau tengok twitter dan instagram tu, penuh feed dengan #socialdistancing dan #movementcontrolorder. Lagu-lagu hit baru pun banyak temanya memberi semangat atau pun perspektif positif terhadap #socialdistancing ni. Pada saya, antara golongan yang paling banyak menerima tempias PKP (perintah kawalan pergerakan) ni adalah kanak-kanak. Apa taknya, sekolah tutup, tak boleh keluar main, tak boleh ke shopping mall, dan tak digalakkan ke kolam renang. Bagi yang ada anak kecil tengah lasak tu, tuhan je lah yang tahu betapa susahnya nak mengepong anak kecil yang tenaga banyak bak air terjun 7 tingkat ni. Semput dibuatnya!

Jadi, di sini saya tuliskan secara ringkas apa yang boleh dipraktikkan dan disaran oleh psychologist, langkah-langkah menyokong emosi anak-anak di kala pandemik COVID19:

1)KEEP CALM AND BE PROACTIVE  

orang akan kata: cakap senanglah.. nak buat tu, jenuh terseksa jiwa raga. Tapi memang itulah hakikatnya.

Anak-anak ni pandang pada kita untuk merasa perasaan selamat dan dilindungi.

Jadi, kita sendiri jangan cepat melatah dan jangan terlalu risau sehingga anak-anak pun rasa tak selamat/takut untuk keluar. Yang penting jaga SOP dan amalkan pemakaian face mask beserta penggunaan hand sanitizers atau rajin cuci tangan dengan sabun dan air bersih.

IMG_8260

2) STICK TO ROUTINE 

Rutin/struktur adalah sesuatu yang SANGAT-SANGAT penting untuk anak-anak.

Bila taska/sekolah dah tutup dan ada antara kita pun terpaksa kerja sambil jaga anak di rumah.. mana nak dapat struktur kan? Perlu kreatif cari jalan untuk wujudkan rutin baru bagi anak-anak.

Rasa-rasanya, apa agaknya yang termasuk dalam rutin ni?

Mudah jawapannya:

Waktu bermain, tech-free-time, dan juga waktu membantu di rumah.

Waktu-waktu ini boleh kita susun atur dan libatkan anak-anak secara aktif. Jangan dek kerana anak-anak sekarang dah banyak ‘masa lapang’ di tangan, kita biarkan mereka bersama sosial media/ TV sepanjang masa.

3) Let children feel their emotions. 

Anak-anak pun macam kita juga tuan-puan sekalian. Mereka pun sedih tak dapat keluar, tak dapat jumpa kawan-kawan, tak dapat peluk atok/nenek, dan pergerakan mereka pun terbatas. Lompat-lompat sikit dalam rumah dah kena bising dengan ibu ayah. Yang sebetulnya, kita kena acknowledged perasaan mereka tu. Dengar dan bersikap empati terhadap mereka.

LET THEM BE SAD (at least for a little while).

Mana-mana yang boleh kita bantu, kita mudahkan. Macam anak saya Adam, walaupun baru 4 tahun, dah pandai call sendiri atuk/ mak cik & pak cik dia. Tak dapat video call, dia call cara biasa. Bersembang cara budak-budak, setakat nak lepas rindu. Kadang-kadang rasa kelakar juga bila saya curi dengar. Ada juga sekali dua Adam tanya pada saya tentang bila sekolah nak buka..ada hari-hari tertentu dia mengadu lamanya kawan-kawan dia cuti.. kesian dengar. Tapi disebabkan kita mendengar, maka terpujuklah hati si kecil tu. Selalu saya cerita pada dia, sebab kenapa tak boleh pergi sekolah, kenapa kena pakai face mask, kenapa tak boleh balik kampung (masa mula-mula PKP dulu). Bila saya balik keletihan, saya cerita juga kenapa saya letih.. sambil peluk dia rapat-rapat. Anak kecil ni jiwa mereka suci, bebas dari rona-rona hitam kehidupan. Mereka faham dengan cara dan erti mereka sendiri, jadi wujudkan hubungan dua hala tu. Biar kita dan anak sama-sama rasa didengari dan diambil peduli.

Tiga langkah ini bukan saja berguna untuk masa sekarang tapi juga untuk waktu dan ketika yang lain.

Selamat mengorak langkah penuh kasih yang memahami!

#nukilanseorangemak

#emakbertopidoktor

 

Bina masa berkualiti dengan anak tatkala anda tak ada masa?

Hatta ibu bapa bekerja mahupun ibu bapa yang berada di rumah sepenuh masa, masing-masing punya cabaran tersendiri. Nak selitkan masa untuk diri sendiri di samping nak memastikan anak-anak dapat perhatian dan kasih-sayang secukupnya. Bagaimana tu?

to a child,

 

acap kali, anak disogokkan dengan mainan/makanan. barangkali nak menghilangkan rasa serba-salah kerana meninggalkan anak bersama pengasuh/di sekolah. Jangan kata orang lain, saya pun adakalanya ada tendency nak buat begini. Tapi awas! Kuantiti takkanpernah dapat menandingi kualiti. Biarpun masa seketika cuma, utamakan MASA BERKUALITI, bukan hanya setakat dengan anak malah dengan pasangan juga.

ingat ya.. intimasi berlaku melalui hubungan 1 dengan 1, bukannya secara berkumpulan. 

Bagi kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah, mereka ni memandang dunia dalam konsep concrete, ataupun tetap; yang bermakna selagi mereka tak nampak/ tak dapat sentuh sesuatu, bagi mereka benda itu tidak wujud.

Jadi, ada tak cara nak wujudkan masa berkualiti tatkala anda sebenarnya tak berapa ada masa ni?

1.Aktiviti projek dengan anak-anak. 

Projek yang terbaik adalah projek yang memakan sedikit masa untuk disiapkan, a.k.a tak boleh siap in 1 sitting. Projek macam mana tu? Tak kisahlah nak buat projek taman mini ke, hias akuarium ke, scrap book ke.. apa jua yang menarik minat anda & juga minat si manja.

Kalau ada anak lebih dari 1 pulak macam mana? Study suggest anda ada lebih dari satu projek. Ye lah, minat dan cara setiap anak pun berbeza kan.. janganlah main pukul rata pulak.

2. Tandakan dalam kalendar (yang boleh dilihat anak). 

Kenapa nak kena tanda & bagi anak nampak? Konsepnya mudah sahaja.. ANTICIPATION. Perasaan tak sabar-sabar menanti sesuatu yang seronok dan menggembirakan. Macam mana anda tak sabar menanti hari Jumaat sebab esoknya cuti & boleh pergi jalan-jalan, macam tu lah juga anak-anak tak sabar-sabar nak main dengan emak ayahnya! Mungkin tak dapat buat setiap hari, selang seminggu pun boleh. Asal saja bila anda dan anak sedang beraktiviti, tumpuan anda 100% kepadanya. Jangan pula tangan dok capai telefon!

3. Lebihkan apa yang anda boleh buat BERSAMA. 

Untuk anak-anak, bila buat sesuatu BERSAMA-SAMA, barulah perhubungan dua-hala dan interaksi gaya badan berlaku. Contoh mudah, anda nak anak belajar solat, cara yang betul adalah anda dan anak sama-sama solat bersama di masjid/surau, bukannya anda hantar anak ke sana untuk solat. Contoh lain, anda beli mainan lego untuk anak anda bermain sambil ‘mengembangkan daya kreativiti’.. cara yang betul adalah anda sama-sama duduk sebelah dan main lego tu.. bukannya bukak beg, keluarkan lego dan biar anak main lego sorang-sorang..

4. Bila bercakap dengan anak, tunggu anak habis cakap dan bagi respons sepenuh hati. 

I cannot stress this enough. Perhubungan dua hala. Bagi peluang untuk anak habiskan cakap & pandang muka/mata anak. Anak-anak ni cerdik tuan-puan, mereka tahu bila anda ‘hadir’ atau tidak. Hatta bercakap dengan bayi sekalipun, tunggu cue dari anak yang menandakan mereka sedang bercakap-cakap dengan kita.. klu verbal (bunyi atau perkataan) dan juga klu non-verbal.. dahi berkerut ke.. tangan excited turun-naik ke. Bila anak tahu kita beri sepenuh perhatian kepadanya, mereka akan lebih percaya diri dan berani mencuba. Itu satu perkara penting yang perlu ada pada anak kecil!

just my type.png

Ultimately, for kids, Love is FOCUSED INTEREST. 

Semoga dengan hari mendatang, kita lebih kreatif dan lebih komited menunaikan hak anak-anak kita dengan memberikan masa yang berkualiti untuk mereka.

 

Selamat menjalin hubungan bermakna dengan anak-anak!

Asma di kalangan kanak-kanak: 6 mitos yang anda perlu tahu.

Sesekali tengok anak kena ‘sedut gas’ di hospital, memang sedih. Anak meraung satu hal, nak mengepong si kecik pun satu hal juga. Pendek kata, yang menyedut gas tu penat, yang memegang si kecik yang ‘sedut gas’ pun penat.. Kali ni saya tergerak hati nak ulas berkenaan mitos-mitos yang selalu saya dengar apabila perkataan asma kanak-kanak (childhood asthma) disebut. Tambah pula, musim jerubu beransur tiba (selalunya ke penghujung tahun). Jom kita sama-sama update tentang mitos-mitos berkenaan asma di kalangan kanak-kanak:

 

MITOS 1: Kanak-kanak yang menghidap asma ni mesti disebabkan penyakit keturunan. 

Jawapannya: TIDAK. 

Seseorang kanak-kanak boleh menghidap asma tidak kira sama ada dia mempunyai sejarah asma di kalangan keluarga atau tidak.

MITOS 2: Kanak-kanak yang terdedah kepada asap rokok mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap asma. 

Jawapannya: YA.  

Asma ini adalah sejenis penyakit radang salur pernafasan yang kronik,  di mana ia menyebabkan salur pernafasan menjadi merah, bengkak, mengeluarkan lendir berlebihan dan mudah teransang (hypersensitive).

asthma2

Analogi mudah: 

Terowong jalan yang kita lalu hari-hari. Jika tiada apa yang menghalang laluan, mudah je kita lalu. Tapi bila ada pasir, batu-batu selongok kiri kanan, air banjir melimpah masuk terowong ke.. tentulah laluan kita jadi terhalang. Nak masuk tak boleh. Nak keluar pun tersangkut. Macam tu la dengan saluran pernafasan. Cumanya saluran pernafasan ni fungsinya lebih kritikal. Jika laluan jalan terhalang, kita boleh guna laluan alternatif. Tapi jika laluan udara (a.k.a saluran pernafasan) terhalang, apa lah daya kita kan?

Sebab itu, sebarang elemen yang telah TERBUKTI menyebabkan kerengsaan pada saluran pernafasan khasnya bagi yang menghidap asma, cubalah elakkan. Dalam erti kata lain, dia adalah faktor risiko/ trigger kepada serangan asma.

Contohnya: asap rokok, debu-debu kotoran, bau cat, alahan kepada bulu binatang peliharaan, dan lain-lain.

MITOS 3. Anak yang selalu batuk-batuk adalah besar kemungkinan menghidap asma. 

Jawapannya: YA. 

Tapi! Dapatkan pengesahan doktor terlebih dahulu ya. Gejala batuk juga boleh disebabkan oleh penyakit seperti influenza, radang paru-paru, batuk kokol, dan penyakit tibi. Pastikan anak anda bebas dari penyakit berjangkit sebelum si manja dicop ada asma.

Antara gejala lain asma kanak-kanak adalah: batuk pada waktu malam (waktu tidur), susah bernafas, rasa ketat di dada dan adakalanya sehingga nafas jadi berbunyi seperti wisel.

MITOS 4: Anak-anak yang menghidap asma ni tak boleh dibiarkan bermain lasak/bersukan. 

Jawapannya: TIDAK. 

Anak-anak yang menghidap asma boleh saja dibiarkan bermain seperti biasa, malah bersukan pun boleh.. asal saja pastikan rawatan asma diambil dengan betul dan mengikut dos yang dipreskrib doktor & pastikan pam pelega (kebiasaannya berwarna biru) sentiasa ada dengan anak-anak hatta di tadika/sekolah sekalipun.. dan anak2/cikgu tahu cara menggunakannya. Dengan rawatan yang betul, anak-anak yang menghidap asma boleh menjalani kehidupan yang aktif seperti kanak-kanak biasa.

MITOS 5: Dah dapat pam + aerochamber & bagi anak sedut dah mencukupi. 

aerchamber-child

Jawapannya: TIDAK.

Apa yang saya maksudkan di sini.. tak cukup untuk ibu bapa bagi sahaja anak sedut pam tanpa memahami cara penggunaan yang betul terutamanya cara penjagaan aerochamber. Pengalaman saya di klinik asma dulu, ada banyak kanak-kanak yang berulang kali masuk ke wad biarpun dah menggunakan pam pencegah (warna coklat/ungu bergantung kepada jenis ubat).. bila disiasat (untuk cari punca serangan asma berlaku).. sebilangan besar rupanya disebabkan penjagaan aerochamber yang tidak betul..

MITOS 6: Asma kanak-kanak ni adalah untuk seumur hidup. 

Jawapannya: TIDAK

Asma di kalangan kanak-kanak ni unik. Sebab tu ia dinamakan childhood asthma. Bermaksud, akan sampai satu tahap (meningkat usia remaja), sebahagian kanak-kanak ini akan pulih dan tidak lagi memerlukan rawatan asma. Walau bagaimana pun, ada juga yang serangan asma mereka akan berterusan sehingga umur dewasa.

Ingat ya! Asma kanak-kanak bukanlah bermakna anak perlu digari duduk sahaja di tepi melihat yang lain bermain. Dengan kefahaman yang betul, anak-anak yang menghidap asma boleh saja menikmati dunia kanak-kanak dengan riang dan aktif.

Mendidik dengan ilmu, menjaga dengan penuh kasih-sayang!

Semoga perkongsian kali ini membawa manfaat.