Rasanya semua yang biasa deal dengan budak-budak mesti pernah merasa baju/ seluar dia kena muntah budak. Betul tak? Muntah adalah salah satu daripada tanda-tanda penyakit yang biasa terkena pada kanak-kanak. Kena demam biasa pun muntah, terlebih makan pun muntah, menangis beria pun boleh muntah juga! Kira biasa la tu kan?
Disebabkan muntah di kalangan kanak-kanak ni sering berlaku, adakalanya kita jadi leka. Kurang prihatin sehinggalah anak jadi teruk tak bermaya. Jangan ye ibu bapa sekalian.. jom kita tengok apa tanda-tanda amaran bila anak muntah:
1.Anak muntah-muntah melebihi 24 jam
Bawa anak untuk diperiksa doktor. Punca sebenar kenapa anak anda muntah perlu dicari dan diketahui. Takut sebenarnya masalah kecemasan yang menyebabkan anak anda muntah-muntah. Terlambat nanti menyesal tak sudah!
2. Bayi di bawah umur 3 bulan dan muntah diiringi demam.
Ohoi! Ini tanda bahaya. Cepat-cepat cari kunci kereta dan bergegas ke kecemasan. Tapi! Muak susu tak sama dengan muntah ye. Muak susu biasanya keluar dengan senang, tak memerlukan tenaga/kerja keras dari anak dan anak pun tak meragam. Bila muntah, bayi selalunya cranky, menangis je sebab tak selesa dan muntah pun keluar dengan penuh tenaga (forcefully).
3. Bayi nampak seperti kurang/ ketiadaan air dalam badan (dehydrated).
Macam mana nak tahu? Perhatikan tanda-tanda ini:
-
Air kencing sangat pekat dan sedikit atau TIADA pampers basah dalam tempoh 6-8 jam
-
kulit bibir atau lidah anak nampak kering
-
bagi bayi yang berumur lebih satu bulan, mereka menangis tetapi TIADA air mata (bayi di bawah umur satu bulan adakalanya kelenjar air mata mereka masih tidak cukup berkembang untuk menghasilkan air mata)
-
Fontanelle (bahagian yang lembut di kepala anak, juga dipanggil ubun-ubun) TENGGELAM ke bawah. Ubun-ubun ini adalah disebabkan pertumbuhan tulang kepala bayi yang normal dan biasanya ia sangat anjal bila dipegang. Ubun-ubun di bahagian belakang selalunya akan tertutup sewaktu anak berusia 6 minggu, manakala yang depan pula tertutup melewati umur 1 tahun hingga 18 bulan.
-
Anak nampak sangat letih dan tidak bermaya.
4. Anak nampak seperti dalam kesakitan yang teramat.
Dikhuatiri muntah itu adalah disebabkan saluran usus tersumbat/ masalah dalaman yang lain.
5. Muntah yang berterusan dan teruk (violent) selepas lebih kurang 1/2 jam selepas makan.
Kita risaukan satu keadaan dipanggil pyloric stenosis di mana saluran otot menghala dari perut ke usus menjadi sangat tebal sehingga menghalang isi perut untuk keluar ke usus dan memaksa isi perut untuk keluar semula ke atas.
6. Muntah yang berwarna hijau kekuningan (hempedu/ bile) atau berwarna kopi gelap/ bercampur darah yang banyak.
7. Bahagian perut (abdomen) anak nampak membengkak, mengeras bila dipegang dan sakit.
Dalam kes ini, dikhuatiri si kecil mengalami masalah kesihatan yang memerlukan pembedahan.
8. Muntah berterusan/ banyak kali yang berlaku selepas anak anda terjatuh/ mengalami kecederaan pada kepala.
9. Mata putih/ muka anak kelihatan kuning (jaundice).
Jika anak anda muntah-muntah dan mempunyai SALAH SATU ATAU LEBIH tanda-tanda di atas, segera pergi dan dapatkan nasihat doktor.
Jika tidak, jangan risau. Pastikan anak diberi air minuman yang cukup, berikan makanan yang lembut dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap dan sendawakan anak selepas makan. Cuba tenangkan anak dengan sentuhan yang lembut serta pujuk anak untuk lebih banyak minum. Tapi! Jangan berikan sebarang ubat tahan muntah sesuka hati melainkan hanya dengan nasihat dan preskripsi dari doktor.
Semoga anak anda cepat sembuh dan anda pun kuat serta sabar melayan anak yang tidak berapa sihat.
Semoga sekelumit ilmu ini membawa manfaat untuk kita semua!