Kanak-kanak memang suka bermain. Bermain bagi kanak-kanak adalah SANGAT PENTING. Sebabnya? Melalui bermain, mereka belajar cara bersosial, membuat keputusan, belajar sebab dan akibat dan juga berlatih seni kemahiran fizikal (gross motor skills & fine motor skills) yang diperlukan dalam kehidupan sehari-hari.
Jadi, jangan ingat bermain tu buang masa. Malah, masa bermain tu lah antara masa penting yang setiap kanak-kanak MESTI buat setiap hari.
All works and no play makes Jack a dull boy.
Betul sangat!
Bila dah ada anak, mesti ibu bapa excited kan nak beli mainan itu ini? Kalau boleh, satu gedung Toys R Us tu nak dibelikan. Tapi..! tunggu dulu..
“Jangan manjakan budak dengan mainan. Minta apa saja dapat. Sebaliknya biasakan si manja dengan mainan yang sedikit agar dia pandai menghargai dan belajar berkongsi.”
Nasihat dari abah saya simpan kemas dalam ingatan. Bila dah ada anak sendiri, baru saya nampak apa yang abah cuba maksudkan.
Dalam memilih mainan terbaik untuk si manja, ada beberapa perkara yang perlu kita ambil perhatian:
1.Mainan terbaik untuk kanak-kanak adalah yang bersifat open ended yang mana ia boleh dimainkan dengan 100+ lebih cara. Duit poket kita jimat, rumah kurang bersepah (sebab tak perlu beli banyak mainan) dan anak-anak dirangsang otaknya untuk lebih kreatif dan berimaginasi. Best kan? Contoh mainan open ended adalah seperti lego, blok kayu, anak patung, kereta mainan dan plastisin (playdoh).
2. Bagi anak yang berumur satu tahun ke bawah, belikan mainan yang berwarna-warni, ringan, mempunyai pelbagai tekstur, dan diperbuat daripada material yang tidak toksik. Bukan apa.. umur begini mereka belajar menerusi sentuhan, penglihatan dan deria rasa. Mereka juga suka masukkan barang dalam mulut. Jadi, keselamatan amat penting dan perlu diutamakan!
3. Elakkan dari membeli mainan antik. Mainan sebegini selalunya dibuat pada zaman sebelum peraturan keselamatan terhadap mainan kanak-kanak dikuatkuasakan, jadi ada besar kemungkinan cat yang digunakan adalah dasar utamanya plumbum dan berbahaya kepada kanak-kanak.
4. Bila membeli mainan, pastikan beli mainan yang tidak mudah pecah/ tercabut/ tertanggal.
5. Pilih mainan yang bersesuaian dengan umur dan kemampuan anak-anak. Baca label mainan ye.
6. Think LARGE. Elakkan pembelian mainan kecil. Elakkan anak-anak dari tercekik.
7. Elakkan mainan yang menembak objek keluar/ ke udara. Tinggi risiko untuk mencederakan mata/ muka/ tercekik.
8. Sentiasa awasi dan pantau anak-anak sewaktu bermain di dalam ataupun di luar rumah. Malang tidak berbau dan sebarang kemalangan boleh terjadi. Mencegah lebih baik dari mengubati!
Belikan mainan yang terbaik untuk anak-anak di samping berikan perhatian terbaik untuknya. Jadilah ibu bapa yang prihatin!