Biasa tak bila balik kampung, bila ada ramai budak kecil, mainan yang satu itulah yang direbutkan. Dari elok senyum ketawa, terus jadi menangis masam muka. Jangan terkejut kalau ada ipai-duai yang bergaduh hanya kerana anak mereka berebut mainan/ makanan! Kenapa ye anak-anak kecil ni suka berebut mainan?
“kongsilah.. bagi Aman main sama..”
“Mimi main yang ni ye.. bagi kereta tu kat kawan..”
“Apa yang Daim rasa kalau mainan ni semua kawan yang main, tak nak bagi kat Daim? Tak suka kan? Sebab tu la kena kongsi.. main sama-sama..”
Selalu dengar kan ayat-ayat macam ni?
Sebenarnya, tak ada istilah kongsi dalam hidup seorang toddler (umur 1- 3 tahun).
Pada mereka ni, kalau mereka nak, mereka ambil saja. Umur 1-3 tahun ni, mereka baru nak tangkap erti ‘ini aku punya’ dari ‘mari kita kongsi’. Jadi, janganlah cepat melenting kalau anak kecil cepat je nak berebut, main ambil itu ini. Kita sebagai ibu bapa perlu pandai teliti keadaan dan jadi orang tengah yang terbaik.. agar anak tak rasa terabai dan saudara-mara pun tak kecil hati!
Anak dari usia 4 tahun dah pandai menerima konsep bertimbang-rasa dan mengambil kira hak orang lain. Maka, jika anak 4 tahun ke atas masih buat ragam dan asyik nak rembat je barang orang lain, salahnya bukan pada mereka tapi pada kita selaku ibu bapa yang tak dapat mendidik dengan betul! Oh! Jadi, cara terbaik adalah ajar anak berkongsi!
1.Mula dari awal
Tak boleh faham tak bermaksud tak boleh diajar.
Anak kecil ni sifat mereka macam span.. serap segala! Bila anak dah boleh pegang objek dengan tangan kecil mereka tu, dah boleh mula ajar anak berkongsi dengan passkan barang dari tangan mereka ke tangan anda berulang kali. Take turn. Dan tekankan.. ‘ini turn emak. lepas ni turn adik pula..’ . Buat bila mereka tengah makan pun ok juga. Bila selalu buat, insyaAllah mereka lebih mudah nak memberi.
2. Mulakan dari diri kita dahulu!
Ini memang tak payah cakaplah. Apa-apa pun ibu bapa kena mula dulu. Kalau anak pun susah sangat nak nampak ibu bapa dia kongsi sesuatu depan mata mereka, tentulah mereka sendiri pun susah nak mulakan! Langkah mudah, kongsi tempat duduk, kongsi roti bakar ke.. kongsi makan ais krim ke.. just be creative!
3. Memuji dengan ayat pujian yang jelas.
Bila anak buat baik dengan berkongsi sesuatu milik mereka, kuatkan perilaku itu dengan pujian. Bukan puji semborono seperti … “baiknya anak emak ni..” tetapi sebaliknya nyatakan dengan jelas apa perilaku baik mereka yang anda puji tu..
contoh: “Bagusnya abang main kereta sama-sama dengan adik. Abang nampak tak macam mana adik gelak bila dapat main tadi? Adik suka main kereta dengan abang..” Pujian sebegini menarik perhatiannya pada apa yang dia lakukan dengan lebih terperinci.. jadi mereka tahu anda memang ambil berat dan ambil tahu apa yang mereka buat.
4. Hormati minat dan perasaan anak anda bila anda mengajarnya berkongsi.
Setiap anak akan ada alat permainan yang mereka sayang dan selalu bawa ke mana-mana. Tindakan anak yang murah hati berkongsi sesetengah mainan dan tak nak berkongsi yang lain adalah normal. Pastikan anda jaga mainan kesayangan anak anda ni. Guard the prized toy – with your life! Kutip mainan itu sebelum ia diambil oleh anak kecil lain. Sebelum anak mula bermain, anda boleh menolong si kecil untuk memilih yang mana mainan yang hendak dimain bersama atau yang mana yang hendak disimpan. Elakkan drama berair mata dari berlaku!
5. Bercakap tentang perasaan.
Ini jarang kita buat tapi sangat-sangat penting. Beri suara dan makna pada apa yang mereka rasa. Sebagai contoh, anda boleh tanyakan pada anak..
“Mia takut ye Mia tak dapat main lagi barbie tadi?” Atau “Mia takut Mia tak dapat balik anak patung tadi ye?”
Membantu anak kecil mengenali perasaannya sendiri; dari masa ke semasa pengiktirafan ini akan dapat membantu si kecil untuk membaca dan respon sewajarnya kepada perasaan orang lain.
Kanak-kanak sebenarnya sangat pandai membaca ekspresi wajah, tetapi tidak dapat menyebutkan apa perasaan yang mereka lihat.
6. Menderma pada yang kurang bernasib baik
Cuba terapkan budaya memberi pada anak-anak dengan menderma mainan atau pakaian mereka yang lama (tetapi masih elok) kepada yang kurang bernasib baik. Pastikan anak-anak ada bersama sewaktu anda memilih barangan yang hendak didermakan. Beri peluang mereka pilih apa yang mereka hendak beri dan puji mereka. Bawa bersama ketika anda menghantar barangan tersebut.. kalau dapat sehingga ke tangan kecil sang penerima. Biar mereka lihat sendiri betapa mainan mereka itu membawa senyuman dan kebahagiaan pada orang lain.
Less is more!
Akhir kata, lebih banyak kita memberi, lebih banyak kita mendapat. Ajarkan anak untuk berkongsi agar mereka pandai mensyukuri.
Semoga bermanfaat!