Saya pun seperti ibu bapa yang lain juga. Bekerja mencari rezeki yang halal, berusaha dan berharap agar anak sentiasa sihat bahagia dan membesar dengan sempurna. Biarpun banyak pengalaman melihat dan mengendalikan kes kanak-kanak yang sawan tarik @ febrile fit ni, tapi apabila ia berlaku sendiri kepada anak saya.. memang trauma! Iyalah.. bila di rumah bersama suami dan anak, topi doktor tu saya letak ke tepi. Bila melihat anak merengek tidak selesa, badan panas dan tiba-tiba kejang pula (sawan tarik), rasa nak gugur jantung dibuatnya. Mujur juga jadi sebelum subuh, jalan tak sibuk dan encik suami pun tak pergi kerja lagi. Cepat-cepat bawa anak pergi hospital.
Demam yang berlaku sebenarnya adalah respon semulajadi badan terhadap jangkitan. Itu tandanya sistem pertahanan badan anak anda berfungsi dengan baik. Apa yang kita tak mahu adalah apabila demam anak tu dibiarkan sahaja tanpa sebarang rawatan dan tindakan.
Kita sebagai ibu bapa yang ada anak kecil perlu peka dengan keadaan anak-anak. Apatah lagi bagi mereka yang anaknya pernah kena sawan tarik ni.
Apa sebenarnya sawan tarik ni?
- Boleh terjadi kepada kanak-kanak seawal umur 3 bulan hingga ke usia 6 tahun. Jika anak anda mengalami sawan di luar julat usia ini, ianya mungkin berlaku disebabkan hal-hal lain yang lebih serius dan perlu rujukan pakar.
- Selalunya tidak berbahaya melainkan sekiranya ia berlaku dalam episod yang berterusan dan melebihi 5 minit. Sawan tarik yang disebabkan demam adalah bukan epilepsi! Ia tidak akan menyebabkan kerosakan otak atau mengganggu tumbesaran anak anda.
- Kebiasaannya berlaku apabila suhu badan anak terlalu tinggi (40 Celcius) ataupun suhu badan naik mendadak secara tiba-tiba.
- Bagi yang sudah pernah kena sawan tarik sebelum ini, ibu bapa perlu lebih berhati-hati apabila anak demam lagi. Sawan tarik boleh berulang! Kali kedua dan seterusnya, sawan boleh berlaku walaupun suhu baru mencecah 38 Celcius.
- Antara tanda-tanda anak anda mengalami sawan tarik adalah mengalami kejang tangan dan kaki mengeras, mata putih naik ke atas, mulut berbuih, dan mungkin juga anak terkencing/ terberak pada masa yang sama.
- Ada juga versi sawan tarik yang lain –> jadi sangat penting untuk ibu bapa memerhati apa yang berlaku sewaktu sawan tarik dan beritahu doktor.
- Anak mungkin akan keletihan letih/ mengantuk selepas sawan berakhir.
Langkah yang perlu diambil SEMASA SAWAN TARIK SEDANG BERLAKU:
- Jangan panik dan segera ambil tindakan pantas.
- Pastikan anak di kawasan yang selamat – jauhkan anak dari objek keras dan tajam yang mungkin terkena sewaktu anak sedang sawan. Jangan tinggalkan anak walaupun seketika.
- Letakkan pada posisi mengiring ke kiri (recovery position). – ini utk mengelakkan anak dari tersedak/tercekik air liur, muntah, atau lendir ketika sedang sawan.
- Jangan cuba kawal pergerakan anak /goncang /pegang dengan kuat ketika sedang sawan. Tindakan sebegini akan mencederakan otot/tulang anak anda.
- Jangan sesekali masukkan sebarang objek ke dalam mulutnya. Sawan tarik yang berlaku boleh menyebabkan objek ini patah dan anak mungkin tertelan/ tercekik. Sebarang ubat melalui mulut pun tak boleh diberi ya!
- Perhatikan keadaan anak – berapa lama sawan berlaku, tanda perlakuan ketika sawan.
- Bawa segera ke hospital – anak anda mungkin ditahan wad khasnya sekiranya ia berlaku kali pertama. Doktor akan membuat pemantauan dan mencari punca kepada jangkitan yang menyebabkan demam berkenaan.